© 2017 SAM Bestari - Sekolah Kluster Kecemerlangan

Penubuhan Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) yang dirancang oleh Bahagian Pendidikan Dan Pelajaran, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertujuan memantapkan sistem pendidikan yang menawarkan  jurusan Sains Tulen dan Sains Teknikal sebagai kurikulumnya.

Sekolah ini mula beroperasi pada 29 Mei 1998 di kawasan seluas 37 ekar dengan dua kelas pelajar Tingkatan Lima yang dipindahkan daripada Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Shah Alam, dan sepuluh kelas pelajar Tingkatan Empat yang dipilih daripada seluruh Sekolah Agama Menengah (SAM) negeri Selangor. Pada tahun 2000, SAMBEST mula menerima kemasukan pelajar Tingkatan Satu sebanyak dua kelas.

            Jumlah guru dan kakitangan sokongan semasa penubuhan sekolah ialah seramai 38 orang yang dipimpin oleh Tuan Haji Solehuddin Bin Kayat sebagai pengetua yang pertama. Kini jumlah guru telah bertambah kepada 70 orang dengan dibantu oleh 15 orang kakitangan sokongan.

            Pada tahun 2005, SAMBEST telah menerima sijil pengiktirafan daripada  SIRIM, iaitu MS ISO 9002:1994. Pengiktirafan tersebut telah memantapkan lagi sistem pengurusan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum.

Pada 28 Disember 2004, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam bidang pengurusan sekolah, kewangan, serta penempatan guru dan kakitangan sekolah.

Bermula 1 November 2006, semua Sekolah Agama Menengah (SAM) negeri Selangor dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Pada ketika itu semua guru, termasuklah guru-guru SAMBEST, diberi opsyen untuk memilih sama ada berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau  pun kekal dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sejak awal penubuhan sehinggalah kini, SAMBEST telah meraih pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Dalam bidang akademik, sekolah ini telah mencatat kecemerlangan dalam semua peperiksaan awam, iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Menengah Agama (SMA) dan Peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kejayaan-kejayaan tersebut telah diiktiraf dan dihargai oleh pelbagai pihak dengan penganugerahan sijil-sijil kecemerlangan dalam pelbagai peringkat termasuk peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan. Contohnya, pencapaian akademik terkini dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 telah mencatatkan keputusan yang cemerlang apabila menjadi sekolah SABK pertama di Negeri Selangor dengan catatan GPS sekolah 1.04 serta mencatat keputusan terbaik bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris sekolah SABK di Malaysia.

Tidak ketinggalan juga kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012, SAMBEST telah menduduki tempat kedua SABK dengan memperoleh 66.42% skor straight A, dengan pencapaian cemerlang GPS 1.92, serta mendapat Rank Pertama bagi Prinsip Perakaunan, Rank Kedua bagi Biologi dan Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah (PQS), dan Rank Ketiga bagi Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Arab Tinggi, Kimia dan Pendidikan Syariah Islamiah. Kecemerlangan dalam subjek PQS membuktikan lagi keberkesanan kebitaraan sekolah dalam PQS.

Dalam bidang kokurikulum dan sukan pula, sekolah ini telah menyertai dalam pelbagai acara di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan, dalam pertandingan Ko-Akademik Bahasa dan Majlis Tadarrus Al-Quran (MTQ), Kemahiran Amal Islami (KAMIL), Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah Institut Pendidikan Agama (MISS) dan MSSD. Dalam unit beruniform juga, sekolah ini telah menyertai pertandingan kawad kaki dan perkhemahan sehingga ke peringkat kebangsaan.

Pada tahun 2008, buat kali pertama SAMBEST telah menyertai Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan dan pada tahun 2009 sekolah ini telah memenangi tempat Ketiga (Agensi Kerajaan) bagi pertandingan tersebut. Pada tahun 2012, sekolah ini telah menerima anugerah Pencapaian Kokurikulum 2011 (Tempat Ketiga) sempena Hari Guru dan Anugerah Kualiti PPD Petaling Perdana.

Kecemerlangan dalam kokurikulum diteruskan lagi apabila SAMBEST berjaya menjadi Johan dalam Kawad Kaki NGO Kadet Remaja Sekolah (Lelaki) peringkat Kebangsaan Zon Tengah 2013 dan Kawad Kaki GO Kadet Pertahanan Awam (Lelaki) peringkat Kebangsaan Zon Tengah 2013, serta dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik Kawad Kaki Kebangsaan Zon Tengah 2013. Dengan pencapaian tersebut sekaligus menonjolkan lagi kebitaraan sekolah dalam kawad kaki.

           Dengan kecemerlangan yang diraih saban tahun, SAMBEST telah menerima Anugerah Lonjakan Saujana (SPM) 2006  pada tahun 2007, Anugerah Sekolah Harapan Berprestasi Tinggi 2010 dan Anugerah Khas Kualiti 2010.

Pada 9 April 2011, sekolah ini  telah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (Fasa IV), Kementerian Pelajaran Malaysia. Manakala pada 26 Julai 2012 pula, Tuan Pengetua SAM Bestari telah menerima anugerah Tawaran Baru (New Deals/Bai’ah) bagi tahun 2011. Budaya kerja SAMBEST yang cemerlang terbukti  apabila warga SAMBEST sekali lagi menerima Tawaran Baru (New Deals/Bai’ah) bagi tahun 2012.

SAMBEST telah dirasmikan pada hari Khamis, 4 April 2013, bersamaan 23 Jamadil Awal 1434H, yang disempurnakan oleh DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, D.K., D.M.N., D.K.(Terengganu), D.K.(Kelantan), D.K.(Perak), D.K.(Perlis), D.K.(Negeri Sembilan), D.K.(Kedah), D.K.(Johor), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya. Warga sekolah amat berbesar hati dan berbangga dengan kesudian DYMM Sultan mencemar duli merasmikan sekolah.

SAMBEST terus unggul mencipta nama dalam semua bidang sama ada kurikulum atau kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Kini, SAMBEST menjadi kebanggaan dan pilihan utama ibu bapa dan pelajar, serta terkenal bukan sahaja di seluruh negeri Selangor malah juga di seluruh Negara.