SEJARAH SEKOLAH
Penubuhan Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) yang dirancang oleh Bahagian Pendidikan dan Pelajaran, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertujuan memantapkan sistem pendidikan yang menawarkan jurusan Sains Tulen dan Sains Teknikal sebagai kurikulumnya.
Sekolah ini mula beroperasi pada 29 Mei 1998 di kawasan seluas 37 ekar dengan dua kelas pelajar Tingkatan Lima yang dipindahkan daripada Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Shah Alam, dan sepuluh kelas pelajar Tingkatan Empat yang dipilih daripada seluruh Sekolah Agama Menengah (SAM) negeri Selangor.
Pada tahun 2001, SAMBEST mula menerima kemasukan pelajar Tingkatan Satu dengan bilangan kelas sebanyak dua kelas. Bermula 1 November 2006, semua Sekolah Agama Menengah (SAM) negeri Selangor dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Sejak awal penubuhan sehinggalah kini, SAMBEST telah meraih pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Dalam bidang akademik, sekolah ini telah mencatat kecemerlangan dalam semua peperiksaan awam, iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Menengah Agama (SMA) dan Peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dengan kecemerlangan yang diraih saban tahun, SAMBEST telah menerima Anugerah Lonjakan Saujana (SPM) 2006 pada tahun 2007, Anugerah Sekolah Harapan Berprestasi Tinggi 2010 dan Anugerah Khas Kualiti 2010.
Pada 9 April 2011, sekolah ini telah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (Fasa IV), Kementerian Pelajaran Malaysia. Manakala pada 26 Julai 2012 pula, Puan AZLINA BINTI EMAM BUHARI telah menerima anugerah Tawaran Baru (New Deals/Bai’ah) bagi tahun 2011. Budaya kerja SAMBEST yang cemerlang terbukti apabila warga SAMBEST sekali lagi menerima Tawaran Baru (New Deals / Bai’ah) bagi tahun 2012.
SAMBEST telah dirasmikan pada hari Khamis, 4 April 2013, bersamaan 23 Jamadil Awal 1434H, yang disempurnakan oleh DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya. Warga sekolah amat berbesar hati dan berbangga dengan kesudian DYMM Sultan mencemar duli merasmikan sekolah.
SAMBEST terus unggul mencipta nama dalam semua bidang sama ada kurikulum atau kokurikulum di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Kini, SAMBEST menjadi kebanggaan dan pilihan utama ibu bapa dan pelajar, serta terkenal bukan sahaja di seluruh negeri Selangor malah juga di seluruh Negara